KUCHING, 16 Okt: Tebingan Kuching bakal dimeriahkan lagi dengan penganjuran acara tahunan Sarawak Regatta 2024.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tujuh hari pertama penganjuran akan dimeriahkan dengan acara “International Dragon Boat” dengan penyertaan daripada 21 buah negara.
Katanya, seramai 61 pasukan akan berentap bagi merebut gelaran juara pada acara tersebut pada tahun ini.
“Semua ini akan berlaku pada hujung bulan Oktober ini bermula pada 25 Oktober dan akan tamat pada 3 November berlangsung selama seminggu,” katanya pada  sidang media Sarawak Regatta 2024 di Hotel Waterfront di sini, pada Rabu.
Tambahnya, Sarawak Regatta pada tahun ini turut dimeriahkan dengan acara “VIP Race” yang akan disertai oleh barisan pemimpin tertinggi.
“Antaranya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.
“Acara lumba perahu tahun ini juga cukup meriah kerana kita difahamkan ada tetamu-tetamu besar yang akan terlibat.
“Insya-Allah kalau tidak ada apa-apa halangan, Sultan Brunei juga akan hadir bersama dan terlibat dalam lumba untuk “VIP Race” yang juga akan disertai oleh Tuan Yang Terutama, Premier Sarawak dan barisan pemimpin tertinggi yang lain,” katanya.
Sarawak Regatta 2024 akan dianjurkan bermula pada 25 Oktober hingga 3 November bertempat di Tebingan Sungai Kuching.
Sebanyak RM1.5 juta dana telah disumbangkan dalam Sarawak Regatta 2024 oleh pelbagai pihak bagi menjayakan acara tahunan negeri Sarawak tersebut.
Pada tahun ini juga, terdapat acara baharu akan dipertandingkan iaitu Maraton 3 kilometer yang menawarkan hadiah sebanyak RM20,000. -TVS