KUCHING, 16 Okt: Dua syarikat pemula tempatan CarbonGPT dan EB Tech dipilih sebagai rakan kerjasama Sarawak bagi pendekatan terbaharu wilayah ini dalam penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama dengan syarikat pemula tempatan itu adalah bertujuan bagi tugasan analitik pengiraan jejak karbon.
“Inisiatif ini bukan sahaja meletakkan satu contoh yang kukuh untuk kelestarian dalam ekonomi digital, selain memberi inspirasi kepada acara dan industri lain untuk meneladaninya sekaligus memperkukuhkan reputasi Sarawak sebagai sebuah wilayah yang bertanggungjawab dan berfikiran ke hadapan dalam kelestarian alam sekitar.
“Melalui kerjasama ini kelestarian bukan sekadar matlamat sebalikmya merupakan asas pendekatan kepada pembangunan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Digital Ekonomi Sarawak (IDECS) ke-7 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Jelasnya lagi Sarawak mempunyai peluang unik untuk mempamerkan kepimpinannya dalam kelestarian dengan mengamalkan amalan proaktif terhadap alam sekitar sejajar dengan tema IDECS 2024.
Mengulas mengenai pengurusan hutan yang mampan dan pemuliharaan biodiversiti, Abang Johari memaklumkan Sarawak Forestry Corporation (SFC) menggunakan penyelesaian digital untuk memantau kesihatan hutan dan aktiviti pembalakan haram.
“Alat Pemantauan dan Pelaporan Pintar untuk Pengurusan Hutan (SMART) menggunakan sistem berasaskan AI dan IoT dan telah mendapat pengiktirafan di Anugerah Wira Biodiversiti ASEAN,” jelasnya. – TVS