KUCHING, 16 Okt: Sarawak mengalu-alukan kedatangan para saintis yang dapat memperkenalkan pendekatan baharu dari segi penggubalan dasar dalam usaha memelihara alam sekitar dan hutan di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak sekarang memberi penekanan tentang cara mengoptimumkan penggunaan kekuatan sumber yang ada, termasuk membantu mengurangkan perubahan iklim.
“Sebab itu kita (Kerajaan Sarawak) memberi fokus kepada usaha pemeliharaan hutan kerana kawasan itu berpotensi besar menjadi tempat penyimpanan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Persidangan Antarabangsa Sains Tropika 2024 (TropSc 2024) di Waterfront Hotel di sini, malam ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Yayasan Sains Tropika (TSF), Academician Tan Sri Datuk Dr Ahmad Tajuddin Ali FASc.
Abang Johari mengharapkan kawasan hutan termasuk hutan paya bakau di Sarawak mampu menyerap gas karbon dioksida dan mengeluarkan banyak gas oksigen.
“Kita juga mahu memastikan sektor pengangkutan awam menggunakan tenaga hidrogen sebagai bahan api utama.
“Banyak pakar dan saintis berpendapat tenaga yang paling bersih ialah hidrogen,” jelasnya.
Tambahnya, Sarawak antara bumi yang bertuah kerana memiliki sumber air yang banyak datang dari air hujan, kawasan tadahan hutan dan sungai. -TVS