KUALA LUMPUR, 16 Okt: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) yang dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Draf RUU MMM yang telah dipersetujui secara bersama telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan terakhir sebelum Memorandum Jemaah Menteri mengenai RUU tersebut disediakan.
“Kementerian ini juga telah selesai melaksanakan proses Analisis Impak Peraturan (RIA) bagi penubuhan MMM.
“MMM apabila ditubuhkan kelak bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhlu Shaari membangkitkan isu berkenaan kepada Menteri Komunikasi yang meminta menyatakan status terkini penubuhan Majlis Media Malaysia seperti yang dijanjikan sebelum ini serta garis masa pelaksanaannya.
Sebelum ini, Kementerian Komunikasi telah giat mengadakan sesi perbincangan mengenai cadangan penubuhan MMM bersama Jawatankuasa Protem serta pihak-pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan memuktamadkan RUU MMM.
“Penubuhan sebuah organisasi kawal selia kendiri bagi media dan pengamalnya pada masa kini adalah penting untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk aduan awam terhadap media.
“Hal ini akan dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara dan dalam masa yang sama memastikan pelaporan berita yang dilakukan oleh media dilakukan secara bertanggungjawab,” katanya lagi. – TVS