KUCHING, 16 Okt: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) merancang untuk memperuntukan sejumlah dana bagi menganjurkan persidangan keilmuan bagi golongan belia di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini tiada dana khusus diperuntukkan bagi penganjuran persidangan tersebut namun beliau akan melakukan perbincangan bersama Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick.
Menurutnya, penganjuran persidangan keilmuan penting kepada golongan belia dalam usaha Kerajaan Sarawak melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan di kalangan golongan belia yang mempunyai intelektual yang tinggi
“Saya memang mahu lebih ramai belia untuk mengikuti seminar seperti ini kerana interaksi di antara peserta akan dapat membina karakter dan akan memperoleh lebih ilmu pengetahuan
“Untuk anda maju ke hadapan dan membina karier, anda harus membina rangkaian kerjasama menerusi persidangan keilmuan seperti ini.
“Ilmu pengetahuan yang akan anda peroleh dari menghadiri seminar seperti ini, anda dapat lihat ada ramai profesor dari pelbagai bidang, berinteraksi dengan mereka dan mendapat ilmu pengetahuan menerusi pembentangan adalah sesuatu yang berbaloi untuk dihadiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada akhir sesi dialog polisi ‘Kelangsungan Perkembangan Di Dalam Tropika’ anjuran TropSc 2024 dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sebuah hotel terkemuka pada Rabu.
Ditanya pemberita mengenai dari mana dan jumlah dana yang akan diperuntukkan, Abdul Karim menjelaskan dana tersebut akan menggunakan peruntukan sedia ada dan tidak perlu dibincangkan secara khusus.
“Pada waktu ini kita mempunyai peruntukan sebanyak RM 10 juta bagi menjalankan penyelidikan. Mungkin dari jumlah itu, kita akan peruntukkan bagi penganjuran seminar ini,” katanya lagi. -TVS