KUALA LUMPUR, 16 Okt: Menjelang sambutan Hari Deepavali, Little India di Brickfield di sini menjadi lokasi wajib kunjung bagi penganut Hindu untuk membeli barangan keperluan.
Jumlah pengunjung bertambah dengan ketara pada hujung minggu dan beberapa hari menjelang sambutan Pesta Cahaya itu sekali gus membuatkan golongan peniaga tersenyum.
Bagi pembantu jururawat, R. Vasuki, 58, dia sangat teruja untuk menghidangkan pelbagai juadah kepada rakan sekerja yang berkunjung ke rumahnya pada sambutan berkenaan kelak.
Katanya di samping membeli manisan yang dijual di Little India, dia juga mahu membuat sendiri beberapa kuih.
“Saya hendak buat achu murukku dan nei urundai yang menggunakan resepi turun temurun ibu.
“Sebenarnya saya baharu habis bekerja syif malam dan terus datang ke sini untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih berkenaan.
“Saya juga hendak masak nasi beriyani yang dihidangkan bersama kari kambing, ayam, ikan dan udang. Kita hendak bergembira dalam suasana kekeluargaan,” ujarnya kepada TVS.
Pemilik kedai serbaneka, S. Selappa, sambutan Deepavali atau turut dikenali sebagai Diwali lebih meriah dengan kehadiran rakan – rakan pelbagai latar belakang ke rumahnya.
“Sama seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali juga masa untuk kita bersama mengeratkan silaturahim.
“Saya sangat gembira melihat semua berkumpul dan meraikannya malah berharap semangat ini dapat diteruskan,” katanya
Bagi Inderpreet Singh, 32, pula, dia merancang untuk menonton pesta Deepavali yang akan diadakan di sini pada 31 Oktober depan.
Dia juga ingin membeli beberapa pakaian baharu untuk digunakan pada perayaan itu kelak.
“Saya akan buat persiapan seminggu sebelum Hari Deepavali, ini termasuklah beli baju baharu untuk beribadah dan manisan,” katanya. -TVS.