BINTANGOR, 16 Okt: Trend peningkatan daripada pasaran luarĀ terhadap Limau Bintangor menyebabkan komoditi semakin berkurangan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Beliau berkata, rasanya yang manis dan sedikit masam menjadikan buah tempatan itu pilihan popular dalam kalangan pembeli.
Selain itu katanya, limau Bintangor dikenali dengan kandungan vitamin yang tinggi, sesuai untuk meningkatkan imuniti tubuh selain kecenderungan orang ramai kepada makanan semula jadi dan sihat.
“Limau semakin berkurangan kerana menjadi rebutan pembelian orang luar dan ini menjadikan harga penjualan semakin tinggi,” katanya pada Sesi Dialog bersama penanam Limau Bintangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada para penanam limau bagi menyokong perkembangan sektor itu di samping meningkatkan hasil tanaman.
Bantuan seperti agihan baja dan racun katanya, mengurangkan kos input pertanian yang biasanya tinggi selain membantu penanam meningkatkan produktiviti ladang.
“Kerajaan juga membantu petani memasarkan hasil mereka melalui pelbagai platform dengan harapan sektor ini (penanaman dan pengeluaran Limau Bintangor) terus berkembang,” katanya sambil menambah subsidi dijangka akan diagihkan pada tahun depan. -TVS