KUCHING, 16 Okt: Lebih daripada 10 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai yang menekankan kerjasama strategik dalam bidang transformasi digital, kemampanan, dan inovasi teknologi di Sarawak pada hari pertama Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 di sini hari ini.
Pemeteraian disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Antara MoU yang ditandatangani termasuk kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Telekom Malaysia (TM), SDEC dengan WITSA, serta SDEC bersama CENTEXS dan Angkasa-X.
“Selain itu, SDEC juga menandatangani MoU dengan Powerplants Australia, Kintone Southeast Asia Sdn Bhd, serta SDEC, MRANTI, TEGAS dan StartUp Borneo.
“MoU lain yang dimeterai adalah antara Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan Plum Consulting LLP, SMA dengan MEASAT, serta Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dan MSC Trustgate,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan IDECS hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, Sarawak Energy Berhad (SEB) juga menandatangani perjanjian kerjasama dengan NetRunner dan perjanjian pelbagai pihak yang melibatkan Silicon Catalyst LLC, Siemens Electronic Design Automation Pte. Ltd., Cambridge Microelectronics Limited, The Hive Climate AI, dan Weeteq.
Sementara itu, MoA ditandatangani antara CENTEXS, Huawei, Greenbay, dan Solarvest untuk menyediakan kemudahan Latihan Pusat Data Hijau Hiperskala bagi pembangunan bakat.
“Kerajaan Sarawak juga memeterai MoU dengan Jabatan Imigresen Malaysia, menandakan langkah penting dalam Integrasi Sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing dan Sistem Imigresen Malaysia.
“Di samping itu, kerajaan Sarawak menjalin kerjasama dengan NetRunner untuk membangunkan Taman Pusat Data Tier 4.
“Antara pemeteraian lain yang berlaku di persidangan ini termasuk MoU antara NetRunner dan Aizo Group Berhad untuk Pembinaan Pusat Data, serta MoU antara Zecon Berhad, SDEC, dan CENTEXS, dan juga antara Zecon Berhad dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, ” tambah kenyataan itu lagi.
MoU terakhir ditandatangani antara Zecon dan China Energy International Group Sdn Bhd.
IDECS menyatakan bahawa semua MoU dan MoA tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk inovasi, mempercepat transformasi digital, dan memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dalam pelbagai sektor di Sarawak, seterusnya mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab digital utama di rantau ini.
Pada persidangan tersebut, Abang Johari juga menyampaikan anugerah kepada syarikat teknologi tempatan Pandai Education yang berjaya menjadi juara global dalam Kejohanan Piala Dunia WITSA, memenangi Trofi Cabaran Zohari di Kongres Dunia tentang Inovasi dan Teknologi (WCIT) Ke-28 2024.
Di kejohanan yang sama, Entomal Biotech Sdn Bhd, sebagai alumni program Digital Village Accelerator (DiVA) SDEC, telah memperoleh pingat perak.
Piala Dunia WITSA adalah sebuah acara global berprestij yang mempromosikan kerjasama antara pelabur, kerajaan, pemimpin industri, dan syarikat teknologi dari 80 negara, serta menggalakkan peluang pelaburan dan pembangunan bakat.
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau kepada ekonomi digital dan kemanusiaan, Abang Johari telah dianugerahkan Anugerah Tokoh Terkemuka (Eminent Person Award) oleh WITSA pada tahun lepas.
Selain itu, Piala Zohari juga ditubuhkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau yang berterusan.
Untuk rekod, persidangan IDECS 2024 bertemakan ‘Kecerdasan Buatan untuk Pembangunan Lestari: Mengemudi Masa Depan Mampan dan Hijau’ yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini hingga esok. – TVS