KUCHING, 16 Okt: Kerajaan persekutuan menyatakan kesediaan membantu dan menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan Sarawak dalam menubuhkan pusat pengajian Aeroangkasa di wilayah ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kementeriannya akan terus memberikan kerjasama bagi menjayakan usaha terbaharu Sarawak itu.
“Perkara tersebut (penubuhan pusat aeroangkasa) turut dibincangkan dalam kunjungan hormat kepada Premier Sarawak sebentar tadi.
“Saya difahamkan pihak IPTA turut bersama-sama memastikan supaya perancangan (menubuhkan pusat aeroangkasa) dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya yang ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan aspek pembangunan sumber manusia khususnya melibatkan program-program di peringkat pengajian tinggi di Sarawak begitu baik.
“Secara umum kita berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan pendidikan tinggi pada masa kini.
“Kita berbincang mengenai rancangan masa hadapan dan pelan pendidikan jangka panjang yang sedang dalam proses pembinaan untuk tempoh bermula tahun 2026 sehingga 2035,” katanya.
Terdahulu, Zambry hadir di acara Pemasyhuran Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Canselor Universiti Malaysia Sarawak.
Katanya, pemasyhuran tersebut selari dengan perlantikan Wan Junaidi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan turut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. -TVS