KUALA LUMPUR, 16 Okt: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahu menyemak semula harga siling beras putih tempatan (BPT) dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan serta pergerakan harga beras putih dunia.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kali terakhir harga lantai belian padi telah dinaikkan kepada RM1,300 setiap tan metrik pada masa kini sejak 2008 namun harga BPT masih kekal tidak berubah.
“KPKM telah pun menubuhkan satu Task Force bagi meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara termasuk kajian daya saing struktur harga padi dan beras negara.
“Di samping itu, pihak Kementerian sedang menunggu laporan hasil kajian terhadap industri padi dan beras yang bakal dikemukakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak lama lagi,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid membangkitkan isu berkenaan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang meminta menyatakan adakah terdapat perancangan daripada KPKM untuk menaikkan harga siling beras.
Menurut Mohamad Sabu, dapatan hasil kajian tersebut akan dijadikan rujukan kepada pihak KPKM untuk menambah baik industri padi beras melalui task force yang telah ditubuhkan.
Tambahnya, harga maksimum BPT telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 bagi memastikan rakyat mendapat beras pada harga yang berpatutan ekoran peningkatan mendadak harga beras di pasaran global.
“Namun selepas 16 tahun, harga maksimum beras tempatan tersebut belum lagi disemak. KPKM ingin memberi komitmen bahawa kebajikan para pesawah akan terus diutamakan dan diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya. – TVS