Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Demanlink Connexion Sdn. Bhd. menandatangani kerjasama strategik dengan Integrated Access Communication Sdn. Bhd. (IAC) untuk pembangunan infrastruktur gentian, disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Demanlink perkukuh infrastruktur telekomunikasi Sarawak untuk agenda digital PCDS 2030

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 16 Okt: Pengoperasian rasmi Demanlink Connexion Sdn. Bhd. (Demanlink) di Sarawak dilihat mampu mengukuhkan lagi infrastruktur telekomunikasi negeri, selaras dengan aspirasi digital di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Demanlink, Hanad Yusuf berkata, Sarawak telah mengalami pelbagai penambahbaikan dari segi infrastruktur, perkhidmatan awam, dan peluang ekonomi untuk rakyat tempatan, seiring dengan matlamat PCDS 2030.

“Dengan sokongan yang kami terima, ia jelas menunjukkan komitmen serius Kerajaan Sarawak dalam menggerakkan agenda ekonomi digital, melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam ekosistem digital bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Operasi Perniagaan Demanlink Connexion Sdn. Bhd. yang turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Rabu.

Hanad turut menzahirkan rasa syukur dan teruja atas peluang untuk beroperasi di Sarawak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur perhubungan di negeri ini.

“Misi utama kami adalah menyediakan infrastruktur digital yang boleh dipercayai, berupaya menghubungkan komuniti, memperkasakan perniagaan, dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak,” ujarnya lagi.

Beliau turut menekankan komitmen syarikatnya dalam membantu kerajaan mencapai sasaran untuk mendirikan 7,000 menara telekomunikasi menjelang tahun 2030.

“Kami telah melihat kemajuan ketara dengan kira-kira 4,500 menara didirikan setakat Mei lalu, dan kami yakin mampu menjadi rakan kongsi yang tepat untuk merapatkan jurang kekurangan 2,500 menara lagi,” katanya.

Hanad juga yakin bahawa infrastruktur digital berkualiti tinggi adalah kunci penting bagi mana-mana negara yang ingin mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, dan Demanlink bersedia untuk menyokong matlamat digital Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menyatakan harapan agar Demanlink dapat terus bekerjasama dengan pelaburnya, EdgePoint Infrastructure, bagi memanfaatkan kepakaran serantau mereka serta pengetahuan tempatan untuk memperkukuhkan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Infrastructure Sdn Bhd, Suresh Sidhu, turut melahirkan rasa teruja untuk melabur di Sarawak melalui kerjasama dengan Demanlink, dengan menyediakan infrastruktur digital yang kukuh serta membangunkan bakat dan kepakaran tempatan.

“Kami yakin bahawa kombinasi kepakaran dan pengalaman serantau, bersama pemahaman tempatan, akan memberikan nilai terbaik melalui penyelesaian infrastruktur telekomunikasi yang bertaraf dunia serta efisien,” katanya.

Untuk rekod, Demanlink baru-baru ini melancarkan program komuniti dengan kerjasama EdgePoint di sebuah sekolah di Miri, di mana mereka menyediakan bilik darjah digital lengkap dengan sambungan internet dan peranti digital, bagi memberikan akses pendidikan dalam talian kepada kanak-kanak dan masyarakat setempat. Projek serupa juga akan dilaksanakan di sebuah sekolah di Simunjan menjelang akhir tahun ini, dengan perancangan untuk diperluaskan ke seluruh negeri pada masa hadapan.

Selain itu, Demanlink turut mengumumkan kerjasama strategik dengan Integrated Access Communication Sdn. Bhd. (IAC) untuk memulakan pembangunan tapak projek berkaitan infrastruktur gentian di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan