KUALA LUMPUR, 16 Okt: Bank Rakyat menerbitkan Sukuk Kelestarian sulungnya bernilai RM500 juta, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan agenda kelestarian bank tersebut.
Penerbitan ini, dilaksanakan melalui syarikat tujuan khas Imtiaz Sukuk II Berhad, mendapat sambutan hangat daripada pelabur, dengan lebihan langganan sebanyak 5.00 kali dan ditutup pada 3.53 kali daripada jumlah terbitan sebenar.
“Ia sekali gus mencerminkan keyakinan kukuh pihak pelabur terhadap inisiatif pembiayaan lestari Bank Rakyat,” kata Bank Rakyat menerusi kenyataan media pada Rabu.
Penerbitan sukuk ini melibatkan dua bahagian, iaitu RM150 juta dengan tempoh lima tahun dan RM350 juta bagi tempoh tujuh tahun, di bawah Program Sukuk Wakalah Senior yang dihadkan kepada RM10 bilion.
Sukuk ini turut mendapat penarafan AA2 daripada RAM Rating Services Berhad.
Dana daripada sukuk ini akan disalurkan kepada projek yang menyokong lapan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Antara segmen pelabur yang terlibat adalah institusi kewangan tempatan, pengurus aset, agensi kerajaan, dan syarikat insurans.
Menurut Bank Rakyat, sukuk ini mengukuhkan kedudukan bank dalam sektor kewangan Islam dan memperlihatkan pendekatan inovatif mereka dalam memajukan inisiatif pembiayaan berasaskan SDG.
“Komitmen ini bukan sahaja menyokong objektif Bank Rakyat sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, tetapi juga menekankan dedikasi untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat serta menyokong kelestarian alam sekitar,” kata Bank Rakyat.
Maybank Investment Bank Berhad berperanan sebagai penasihat tunggal dan pengatur utama bagi Program Sukuk Wakalah ini, di samping bertindak sebagai pengurus utama bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, dan RHB Investment Bank Berhad. – TVS