KUCHING, 16 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan Sarawak Technology and Innovation Sandbox (STI Sandbox) dan Sarawak Digital Residency Programme (SDRP) yang merupakan dua inisiatif baharu untuk memacu agenda digital wilayah ini.
Menurut Abang Johari SDRP merupakan inisiatif berani wilayah ini yang bertujuan untuk menarik golongan profesional, pekerja jarak jauh (remote), usahawan asing dan pelabur datang ke Sarawak.
“Dengan syarat-syarat yang fleksibel, kami sedang meletakkan Sarawak sebagai hab digital yang inklusif dan mesra bakat global.
“Inisiatif pertama kami di bawah program ini ialah De Rantau Sarawak yang akan dibuka untuk permohonan pada awal tahun depan dengan kerjasama Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai destinasi utama untuk nomad digital di Asia Tenggara,” katanya.
Berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Digital Ekonomi Sarawak (IDECS) ke-7 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini, Abang Johari turut mengulas mengenai STI Sandbox, “inisiatif ini dijangka akan memacu agriteknologi, bandar pintar dan industri budaya.
“STI Sandbox ini akan meletakkan Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan dan secara tidak langsung menyokong komitmen wilayah ini dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 iaitu untuk mengimbangi keperluan pembangunan dan inovasi mampan.
“Inisiatif ini dibangunkan dengan kerjasama National Technology and Innovation Sandbox, SDEC, Startup Borneo, dan TEGAS, bertujuan memudahkan peralihan Sarawak ke ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy),” tambahnya.
Ujarnya, kedua-dua inisiatif ini akan memperkukuh komitmen Sarawak dalam memupuk pembangunan ekonomi digital yang bertenaga, inovatif dan kesalinghubungan secara global.
Abang Johari menegaskan menerusi kerjasama erat antara kerajaan, perniagaan, dan komuniti, beliau yakin Sarawak dapat memanfaatkan potensi AI dan teknologi digital untuk memacu pertumbuhan mampan dan kemakmuran.-TVS