KUALA LUMPUR, 16 Okt: Sebanyak 481 daripada 901 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi di Sarawak di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, manakala 4,320 daripada 4,330 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf serta 148,630 daripada 207,135 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik.
“Baki inisiatif yang sedang dalam pelaksanaan dijangka akan siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2025. Sehingga tempoh yang sama, liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di negeri Sarawak telah mencapai 89.22%,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Katanya selain inisiatif Pelan JENDELA, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) juga sedang melaksanakan inisiatif pembinaan 600 buah menara baharu (SMART600) bagi menambah baik liputan internet di negeri Sarawak.
Jelas beliau, setakat 30 September 2024, sebanyak 301 buah menara baharu telah siap beroperasi dan 299 buah menara masih dalam peringkat pelaksanaan di bawah inisiatif SMART 600 di seluruh Sarawak.
“Bagi liputan 5G pula, sebanyak 583 tapak pemancar 5G telah dirancang bagi negeri Sarawak dan sehingga 31 Ogos 2024, 552 tapak telah siap dibina memberikan 62.5% liputan di kawasan berpenduduk di negeri tersebut,” jelas beliau.
Tambahnya, kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri haruslah dipupuk bagi memudahkan pelaksanaan projek 5G termasuk memberikan kelulusan izin lalu, rancangan pembangunan bandar yang mempertimbangkan keperluan 5G serta galakan inovasi melalui aplikasi 5G dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pendidikan dan kesihatan.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik.
“Sehingga 3 Oktober 2024, sebanyak 67 PoP telah berjaya disiapkan sepenuhnya bagi Fasa 1 manakala 178 PoP daripada 681 PoP bagi Fasa 2 telah disiapkan di negeri Sarawak menjadikan 26,366 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti setempat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai status terkini pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak termasuk usaha untuk meningkatkan capaian internet di luar bandar dan pelan untuk memperluas liputan 5G di seluruh Sarawak.
Fahmi berkata, bagi Parlimen Betong, dua PoP telah selesai dibina sepenuhnya bagi Fasa 1 dan lapan PoP daripada 20 PoP bagi Fasa 2 telah berjaya disiapkan.
“Baki PoP Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2025,”ujarnya. – TVS