KUCHING, 16 Okt: Tiga buah kereta dan lapan motosikal musnah dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Kranji, Tabuan Desa di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Suhardi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.54 malam sejurus itu menggerakkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dibantu BBP Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis struktur kekal telah terbakar keseluruhan.
“Turut terbakar ialah tiga buah kenderaan iaitu Perodua Kenari musnah keseluruhan, Nissan Grand Livina 80 peratus manakala Toyota Hilux 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua lapan buah motosikal juga tebakar keseluruhan dan gagal diselamatkan.
“Tiga penghuni berusia 21, 40 dan 63 tahun berjaya menyelamatkan diri dan tiada mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel, air dari jentera dan satu aliran salur bantu mula untuk mengawal serta memadam kebakaran,” ujarnya.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.-TVS