KUNDASANG, 16 Okt: Seramai sepuluh orang ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Sarawak (KDJA) berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu, pada Selasa.
Mereka merupakan pengamal media dari The Borneo Post, Utusan Borneo, DayakDaily, TV Sarawak (TVS), CatsFM, New Sarawak Tribune, Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan Jabatan Penerangan Sarawak.
Ekspedisi kali ini turut diiringi pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Wan Abdul Mubin bagi membantu pendakian.
Program yang memasuki edisi keempat tahun ini memberi keutamaan kepada peserta dalam kalangan media Kuching yang belum pernah mendaki gunung tersebut.
KDJA memulakan program itu pada 2019 sebagai menyahut cabaran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menguji kekuatan, stamina, dan ketabahan ahlinya.
Sementara itu, wakil daripada Jabatan Penerangan Sarawak, Joshua Amir menzahirkan rasa bangganya kerana menjadi ahli KDJA yang pertama sampai ke puncak meskipun ini merupakan kali pertama beliau mendaki Gunung Kinabalu.
“Saya juga berbangga dengan pasukan KDJA kerana masing-masing tidak mengalah dan akhirnya semua sampai ke puncak juga,” katanya.
Manakala bagi James Wong, wakil dari New Sarawak Tribune mengakui akan terlepas permandangan yang indah sekiranya tidak sampai ke puncak.
“Saya hampir mahu mengalah, namun saya gagahkan diri dan sampai ke puncak. Apabila saya dapat lihat permandangan di atas, saya rasa sangat puas hati sampai saya menitiskan air mata, amat berbaloi,” katanya.
Gunung Kinabalu, dengan ketinggian 4,095 meter (13,435 kaki) dari paras laut, adalah puncak tertinggi di Asia Tenggara di luar jajaran Himalaya dan Papua New Guinea. Laluan sepanjang 8.8 kilometer ke puncak melalui bahagian selatan gunung, melintasi rabung Tenompok. – TVS