KUCHING, 15 Okt: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menyempurnakan majlis penutupan Sarawak Regatta 2024 di Tebingan Kuching di sini, pada 3 November ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Tun Wan Junaidi turut menyatakan kesediaan mahu hadir menyaksi Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2024 yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Oktober ini.
“Kunjungan kita untuk menjemput Tun Wan Junaidi menghadiri dua acara rasmi iaitu perasmian Festival Gendang pada 1 November dan juga majlis penutupan Sarawak Regatta pada 3 November ini.
“Beliau turut menyatakan kesediaan mahu bersama untuk Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak yang diadakan pada 25 hingga 27 Oktober ini, ” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Tun Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Menurutnya, Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2024 akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membuat perasmian dan titik mata pada 26 Oktober.
“Pertandingan ini akan melibat 60 pasukan daripada 21 buah negara termasuk England, Ireland, Amerika Syarikat dan sebagainya.
“Sarawak Regatta 2024 yang diadakan pada 1 hingga 3 November mendapat sambutan yang memberangsangkan dan hadiah wang tunai RM 30,000 menanti Raja Sungai,”ujarnya.
Pelbagai acara akan diadakan sempena Sarawak Regatta 2024, termasuk Majlis Seni Sarawak mengadakan acara yang terlibat muzikal pada setiap malam, jualan kraf yang melibatkan pengusaha-pengusaha daripada seluruh Malaysia, dan Sarawak Kitchen juga akan dirasmikan pada 26 Oktober.
Tempat jualan kraf tahun ini juga diletakkan di ruang berhawa dingin untuk menarik lebih ramai pengunjung datang.
Turut serta pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting.-TVS