KUALA LUMPUR, 15 Okt: Sarawak mencatatkan kadar prevalen berlebihan berat badan dan obes tertinggi di Malaysia dengan 35.2 peratus bagi kalangan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun.
Selain Sarawak, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan turut tersenarai antara tertinggi di Malaysia dengan masing-masing mencatatkan 34.6 peratus dan 33.0 peratus.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini telah membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak Malaysia 2023-2030 bagi memastikan pendekatan yang lebih komprehensif bagi memerangi masalah beban berganda malpemakanan seperti bantut, obesiti dan anemia.
Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata lima teras strategi dan 31 inisiatif telah digariskan dengan memberi keutamaan kepada mengukuhkan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pihak berkepentingan, meningkatkan kualiti dan akses perkhidmatan pemakanan, pemantapan persekitaran dan masyarakat yang kondusif.
“Pelan ini mensasarkan impak khusus kepada kanak-kanak, remaja, wanita dalam umur reproduktif serta kumpulan rentan yang dirangka bagi menggembleng tenaga secara bersepadu dan efektif kepada semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaan strategi, program dan aktiviti yang digariskan.
“Pengukuhan inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan kanak-kanak bermula seawal hari pertama ibu hamil sehingga anak berusia 2 tahun merupakan salah satu daripada usaha yang sedang diperkukuhkan,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato Dr Alias Razak meminta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan KMM untuk mewujudkan dokumen induk seperti Pelan Tindakan (Blueprint) Pemakanan Kanak-Kanak bagi menyelesaikan isu-isu pemakanan dalam kanak-kanak khususnya isu wasting dan stunting serta obesiti secara komprehensif dan bersepadu.
Tambah Dr. Dzulkefly, beberapa aktiviti telah dijalankan bersama pihak farmasi swasta dan klinik kesihatan swasta seperti membuat saringan awal bagi ujian hemoglobin darah kepada wanita dan bakal ibu serta pengawasan tumbesaran bayi dan kanak-kanak.
“Pelaksanaan Pelan Strategik Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak 2023-2030 ini diharapkan dapat mempercepatkan usaha untuk memerangi isu malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak demi membina negara dan rakyat Malaysia yang sihat bermula di peringkat awal usia,” ujarnya lagi. – TVS