LIMBANG, 15 Okt: Rumah Liban Tubai di sini dilaporkan terputus hubungan susulan jalan utama menuju ke rumah panjang itu dinaiki air pada kedalaman 1.2 meter hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata kejadian hujan secara berterusan beberapa hari lepas mengakibatkan kawasan rendah terbabit di naiki air.
Katanya sepasukan anggota diketuai oleh lan koperal (PA) Amirul Matusin membuat pemantauan di kawasan berisiko dinaiki air termasuk di Rumah Liban Tubai pada jam 9.26 pagi.
“ Sebaik tiba di Rumah Liban,Tubai, jalan menuju ke rumah panjang terputus dan tidak dapat dilalui kerana dinaiki air setinggi hingga 1.2 meter.
“Manakala pemantauan di Sekolah Rendah Kebangsaan Ukong, air beransur surut dan sekolah masih beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu, Bonnie menasihati penduduk agar sentiasa peka terhadap keadaan air dan diingatkan agar berpindah jika situasi tidak selamat.
Bagaimanapun kata Bonnie keadaan kawasan yang di pantau masih dalam keadaan selamat dan terkawal.- TVS.