KOTA SAMARAHAN, 15 Okt: Kerajaan Sarawak menyambut baik program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berperanan meningkatkan kualiti hidup masyarakat di luar bandar, kata Datuk Aidel Lariwoo.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu menyifatkan program yang diadakan sejak tahun 1991 itu menyediakan peluang masyarakat luar bandar daripada keciciran dalam bidang pendidikan.
“Sudah tentunya kita sentiasa menyokong segala program KEMAS di luar bandar khususnya di kawasan kita kerana kita tahu KEMAS selaku salah satu agensi di bawah Kementerian Desa dan Wilayah telah lama bersama masyarakat kita di luar bandar dalam membangunkan sektor pembangunan modal insan terutamanya (dalam kalangan) warga emas,” katanya.
Aidel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Graduasi Pendidikan Literasi Fungsian KEMAS Daerah Simunjan di Dewan Serbaguna, Pertubuhan Peladang Sarawak di Kota Samarahan pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin berkata PLF menyasarkan masyarakat luar bandar berikutan ingin memupuk minat mereka terhadap kepentingan pendidikan.
Menurutnya kehadiran golongan muda dalam program tersebut menunjukan keciciran pendidikan turut berlaku dalam kalangan golongan itu dan percaya program PLF mampu membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
“Namun berdasarkan situasi yang kita nampak, ada juga dalam kalangan peserta kita yang muda turut hadir ke dalam kelas PLF kita menunjukkan bahawa memang keciciran pendidikan itu berlaku.
“Ini menunjukkan bahawa program yang dilaksanakan KEMAS ini yang dimulakan pada tahun 1991 memang amat relevan dan boleh kita teruskan bagi memastikan bahawa tidak berlaku lagi keciciran atau tidak berlaku lagi buta huruf dikalangan masyarakat kita,” katanya lagi.
PLF kali ini mengambil masa selama 2 tahun bermula sejak awal tahun 2023 dan akan berakhir penghujung tahun ini dengan 88 peserta antaranya dari Kampung Pelandok Laut, Kampung Jemukan Sadong Jaya dan Kampung Sageng Simunjan menerima sijil setelah menamatkan pra ujian.
Ini akan disusuli dengan pasca ujian selepas peserta mengikuti program tersebut selama 2 tahun bagi melihat keberkesanan dan impak program tersebut.-TVS