MIRI, 15 Okt: Perlindungan ke atas kanak-kanak merupakan tanggungjawab seluruh masyarakat, tegas Dato Sri Lee Kim Shin.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu mengingatkan agar semua pihak peka terhadap peranan masing-masing dalam melindungi kanak-kanak daripada pelbagai ancaman seperti penderaan dan pengabaian yang semakin membimbangkan.
“Kasih sayang dan perlindungan terhadap kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama. Bukan sahaja kepada ibu bapa dan penjaga, tetapi juga kepada komuniti secara keseluruhannya.
“Kes-kes penderaan, pengabaian, dan gangguan seksual yang kita lihat pada masa kini semakin berleluasa di media massa dan media sosial. Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha untuk melindungi dan memberi pendedahan dari segi advokasi seperti program ini,” katanya.
Kim Shin berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Jeffry Phang semasa merasmikan Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Miri di SK Merbau, hari ini.
Kim Shin menambah golongan kanak-kanak yang paling terdedah kepada risiko tersebut adalah mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Data menunjukkan bahawa golongan yang paling terdedah adalah mereka yang datang dari latar belakang sosioekonomi yang rendah. Oleh itu, kita perlu memastikan bantuan dan perlindungan sampai kepada semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Dalam pada itu,Kim Shin turut menekankan bahawa Sarawak turut mempunyai pelbagai dasar yang progresif dalam mengupayakan kanak-kanak, dengan tumpuan khusus kepada inisiatif melindungi serta memajukan perkembangan mereka, termasuk polisi untuk pendidikan awal dan penjagaan yang menyeluruh.
“Kita bukan sahaja membanteras secara tegas tentang sebarang polisi yang menekan kepada aspek penjagaan kanak-kanak tetapi turut memberi fokus kepada aspek pembelajaran awal kanak-kanak. Malah, kita juga sentiasa bersedia untuk memperkenalkan polisi yang memberi kelebihan kepada kanak-kanak,” tambahnya. -TVS