KUALA LUMPUR, 15 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan untuk mengembalikan kanak-kanak yang diselamatkan menerusi OP Global kepada ibu bapa dan keluarga masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun berkata, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit perlu dipastikan dapat berfungsi dengan baik dan boleh memberikan penjagaan yang sepatutnya kepada mereka.
“Bagi kes-kes yang jelas membuktikan keupayaan ibu bapa dan keluarga, proses penyatuan semula boleh disegerakan. Manakala bagi kes yang rumit, program intervensi akan dilaksanakan untuk kanak-kanak dan keluarga bagi memastikan kepentingan mereka terjaga.
“Namun, sebelum ia boleh direalisasikan, pelbagai perkara perlu dinilai dan dipertimbangkan. Ini semua bukanlah untuk menidakkan hak mana-mana pihak, tetapi ia adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu,ā katanya semasa sesi penerangan menteri berkenaan isu kebajikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op global membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Berdasarkan pengumpulan maklumat profil awal terhadap 558 kanak-kanak oleh Pasukan Petugas Pemfailan Kanak-Kanak Op Global mendapati 94.3 peratus kanak-kanak mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung, manakala 5.7 peratus lagi tidak mempunyai ibu bapa atau tiada maklumat mengenai ibu bapa mereka
Dalam pada itu jelas beliau, KPWKM telah merangka hala tuju yang komprehensif berdasarkan prinsip kerja sosial terhadap kanak-kanak ini dengan perancangan tertentu berdasarkan peruntukan perundangan yang meliputi beberapa kategori kanak-kanak.
Setakat 14 Oktober 2024, seramai 560 orang kanak-kanak melibatkan 283 kanak-kanak lelaki dan 277 kanak-kanak perempuan kini sedang ditempatkan di lokasi Selamat selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
āKanak-kanak yang telah diselamatkan dalam operasi ini telah dikeluarkan perintah jagaan sementara oleh Mahkamah dan sedang diberi perlindungan dan penjagaan sewajarnya oleh JKM,ā katanya. – TVS