SELANGOR, 15 Okt: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), rangkaian peruncit halal terbesar di Malaysia, hari ini mengumumkan pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia” sebagai langkah untuk menyokong usahawan tempatan, selaras dengan aspirasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Inisiatif itu menyaksikan MYDIN telah menyediakan rak khas yang memaparkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menampilkan pelbagai pilihan termasuk makanan, minuman, dan barangan keperluan harian, yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya memahami dengan mendalam cabaran yang dihadapi oleh usahawan dalam mempromosikan produk mereka dan bersaing dengan jenama antarabangsa.
“Justeru, rak khas ini, yang memaparkan hampir 2,000 jenis stok simpanan unit (SKU) dari IKS di setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk mengenal pasti dan mendapatkan produk berkualiti tinggi dengan cita rasa asli yang dihasilkan di negara kita,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turt menekankan bahawa kempen ini merupakan langkah penting untuk menggalakkan penggunaan produk tempatan dan seterusnya meningkatkan ekonomi domestik.
Sehubungan itu, MYDIN menyeru masyarakat untuk menyokong produk tempatan sekali gus ia memajukan industri tempatan dan memberikan impak positif kepada masyarakat, di samping mengurangkan kebergantungan kepada produk luar. – TVS