KUALA LUMPUR, 15 Okt: Malaysia akan terus mempertahankan kebebasan Laut China Selatan mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara juga akan terus membantah sekiranya perairan negara digunakan sebagai laluan tanpa izin.
“Sebab itu penerusan cari gali oleh Petronas termasuk di kawasan Kasawari diteruskan walaupun dibangkitkan oleh negara China, kita kata kita akan teruskan tetapi tidak pernah menutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana negara,”
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai penyelesaian isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan permasalahan berkaitan sempadan negara tidak seharusnya dikaitkan dengan China sahaja kerana Malaysia juga mempunyai masalah seumpama dengan negara-negara jiran yang lain.
“Malaysia mempunyai isu dengan semua negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei. Sebab itu kita kurang setuju apabila masalah pertelingkahan sempadan ini dirujuk kepada satu negara seperti China walhal kita mempunyai masalah yang sama dengan negara lain.
“Namun masalah ini tidak menjejaskan hubungan diplomatik malah tidak menjejaskan hubungan perdagangan dan persahabatan akrab dengan jiran-jiran kita,” katanya – TVS