GERIK, 15 Okt: Seorang pengendali jentera berat meninggal dunia selepas diserang seekor harimau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, hari ini.
Mayat mangsa warga tempatan berusia 53 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 12 tengah hari selepas dilaporkan hilang sekitar pukul 5 hingga 6 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa disyaki diserang harimau semasa mahu pergi ke tandas dan kejadian turut disaksikan isteri mangsa yang merupakan pekerja tukang masak di rumah kongsi itu.
“Isteri mangsa yang merupakan warga Thailand mendakwa dia terdengar bunyi harimau mengaum.
“Dia kemudiannya membuka pintu rumah sebelum melihat seekor harimau sedang mengheret mangsa ke arah semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pasukan polis bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan di samping operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 10.30 pagi selepas menerima laporan.
“Mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia kemudiannya dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi dalam keadaan cedera parah pada kaki kiri dan leher kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik bagi bedah siasat pada pukul 1.30 petang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – TVS