KUALA LUMPUR, 15 Okt: Infrastruktur Hab Hidrogen Sarawak yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2028 akan menyaksikan penghasilan sejumlah 240,000 tan hidrogen hijau setahun.
Menerusi Jawapan Lisan yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak itu adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), peralihan kepada ekonomi hidrogen yang mampu meningkatkan keupayaan perindustrian dan prestasi eksport Malaysia merentasi pelbagai sektor termasuk tenaga bersih.
“Sarawak sedang membangunkan infrastruktur penjanaan hidrogen hijau berskala besar dengan kerjasama Gentari, sebuah syarikat milik penuh PETRONAS.
“Bukan itu sahaja, sejumlah 2,000 tan hidrogen yang dihasilkan oleh Hab Hidrogen Sarawak diunjurkan untuk kegunaan domestik. Pelaburan dalam Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan Sistem Transit Pantas Autonomi (ART) akan menjana kesan limpahan ekonomi yang besar dalam membuka koridor pertumbuhan baharu, meminimumkan kesesakan lalu lintas seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di bandar Sarawak,” menurut jawapan lisan itu.
Perkara berkenaan dibangkitkan Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subraniam menerusi soalan aturan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai apakah jangkaan limpahan ekonomi kepada negara dengan pelaksanaan pembangunan teknologi dan ekonomi hidrogen di Malaysia.
Tambahnya, permintaan tenaga bersih turut merangkumi penjanaan hidrogen hijau atau hidrogen rendah karbon, pada skala yang lebih kecil dimana Sarawak baru-baru ini telah melancarkan Fasiliti Pemasangan dan Pengedaran Elektrolizer (SEA-DF) yang pertama seumpamanya di rantau ASEAN.
Menurut Chang, industri berkenaan yang dipacu Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara peneraju dalam peralihan ke tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidrogen di rantau ini.
“HETR menyasarkan pendapatan sebanyak RM12 bilion menjelang 2030 dan dijangka menyumbang antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam negara sehingga 15 peratus menjelang tahun 2050, pelaksanaan HETR diunjurkan dapat mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan pada tahun 2030 dan meningkat sehingga 200,000 pada tahun 2050,” katanya lagi – TVS