TAWAU, 15 Okt: Polis menahan seorang bapa susulan kes penderaan membabitkan anaknya berusia tujuh tahun sehingga mendatangkan kecederaan di seluruh tubuh mangsa.
Lelaki warga asing itu diberkas pada jam 12.45 tengah hari di sebuah rumah di perkampungan Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes dera terbabit daripada ibu saudara kanak-kanak itu.
“Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau
“Mengikut laporan diterima, mangsa sering dipukul oleh bapa kandungnya menggunakan tali pinggang.
“Malah sebaik diselamatkan, pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis turut berjaya merampas tali pinggang yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A kanun yang sama.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dua kali ganda dari hukuman berkenaan,” katanya. -TVS