KUCHING, 14 Okt: Sarawak sekali lagi melakar sejarah di pentas antarabangsa dengan aksiĀ dua bintang muda, Avery Jong Xin En dan Sarafina Arisya anak Jihel, berjaya memenangi anugerah berprestij di Global Supermodel Search 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Avery Jong Xin En dinobatkan sebagai pemenang Junior Grand Winner dalam kategori Junior (6-12 tahun) pada 12 Oktober 2024, sementara Sarafina Arisya pula memenangi gelaran Petite Global Supermodel Search 2024.
Menerusi satu kenyataan penganjur, Avery berjaya menewaskan 17 peserta lain dari negara seperti Jepun, Australia, Malaysia dan Indonesia sekali gusĀ muncul sebagai juara keseluruhan dalam kategori Junior.
“Kemenangan Avery adalah bukti semangat dan keupayaan model muda ini untuk bersaing di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Sementara, Sarafina, yang meraih tempat kedua dalam kategori Teen Global Supermodel Search 2024, turut memenangi anugerah Best in High Fashion Attire.
Pencapaian mereka ini turut diakui oleh jurulatih mereka, Angela Martin, seorang pereka fesyen dan jurusolek, serta Viviana Lin Winston, jurulatih ‘catwalk’ yang berpengalaman.
Kedua-dua jurulatih dari Angel Impact Management itu memainkan peranan besar dalam melatih dan mempersiapkan Avery dan Sarafina untuk pertandingan ini.
Angela Martin, yang juga dikenali sebagai Mak Ratu, turut mencipta kejayaan tersendiri apabila memenangi dua anugerah antarabangsa, iaitu Best in High Fashion untuk kategori Senior dan Junior, yang ditampilkan oleh Avery dan Sarafina di pentas akhir pertandingan.
Menurut penganjur, platform ini meraikan kepelbagaian, inklusiviti, dan keindahan individualiti selain memberi peluang kepada peserta dari pelbagai latar belakang untuk menonjolkan bakat, keyakinan, dan keanggunan mereka di atas pentas.
“Penganjuran ini adalah tentang meraikan kecantikan dalam kepelbagaian dan memberi peluang kepada individu muda dan dewasa untuk menonjolkan keunikan mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Global Supermodel Search 2024 dianjurkan oleh Tiara Management dan dihoskan oleh Flamingo Hotel, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Oktober lalu.- TVS