BAU, 15 Okt: Sebanyak 31 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT, Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bau dalam operasi Op Bersepadu Khas Motosikal pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Dr. Daram Ruer berkata, sepanjang operasi dijalankan telah menahan lima buah motosikal di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak 28 motosikal dan seramai 31 orang diperiksa di sekitar Pasar Bau dengan 31 saman dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, antara kesalahan tertinggi adalah tiada cermin sisi (sembilan saman), ubahsuai struktur/ peralatan kenderaan (enam saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (lima saman) dan tiada lesen memandu (lima saman).
“Semua pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa menitikberatkan keselamatan diri,” ujarnya.
Katanya, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang awam berkaitan aktiviti samseng jalanan dan boleh disalurkan di talian 082-763311.-TVS