KUCHING, 15 Oktober: Sebanyak 12,000 ekor benih ikan siakap (Lates Calcarifer) bersaiz dua hingga tiga inci dilepaskan ke perairan umum melibatkan kawasan di Muara Tebas, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelestarian ekosistem perairan di samping menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk generasi akan datang.
Menurutnya, pelepasan benih ikan itu merupakan usaha memulihara populasi ikan yang semakin berkurangan akibat penangkapan tidak terkawal dan kemerosotan habitat semula jadinya.
“Pada hari ini, Jabatan Perikanan Laut Sarawak akan membuat pelepasan benih ikan sebanyak 12,000 ekor ke perairan umum dan program pelepasan benih ikan ini adalah satu langkah penting dalam usaha kita untuk memastikan kelestarian ekosistem perairan kita serta menjamin bekalan ikan yang mencukupi untuk generasi akan datang.
“Dengan pelepasan benih ikan ke perairan umum, kita berusaha untuk memulihara populasi ikan yang semakin berkurangan akibat penangkapan ikan yang tidak terkawal dan kemerosotan habitat semula jadi mereka dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak sentiasa mengambil berat terhadap sumber-sumber di seluruh perairan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Komuniti Nelayan Setempat Kampung Muara Tebas di Kuching pada Selasa.
Hazland menambah, kawasan persisiran pantai adalah kawasan yang sensitif yang menjadi tempat pembiakan serta tumbesaran ikan dan jika tidak pelihara dengan baik akan menjejaskan sumber ikan di kawasan terlibat.
Justeru itu, Hazland menasihati para penerima lesen sampan khas diminta untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan lebih teratur dan sah di sisi undang-undang agar usaha memastikan sumber perikanan di Sarawak senantiasa terpelihara dan terjaga.
Tahun lalu terdapat 217 buah vessel penangkapan ikan berlesen berdaftar di kawasan DUN Demak Laut yang beroperasi di Zon A melibatkan perairan sehingga lima batu nautika dari pantai dan ke atas manakala 24 buah vessel didaftarkan sebagai vessel Zone C iaitu vesel komersial yang beroperasi antara 12 hingga 30 batu nautika dari pantai. -TVS