KUCHING, 14 Okt: Semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) disaran untuk memainkan peranan masing-masing dalam menangani kesulitan yang bakal dihadapi warga emas bagi mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif, mampan dan mesra kepada golongan tersebut .
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian berkata, penuaan merupakan fenomena global, dan Sarawak tidak terkecuali.
“Kita semua tahu penuaan adalah fenomena global bagi negara membangun. Sebelum ini kita mempunyai 40,000 kanak-kanak yang lahir dalam setahun. Kemudian apabila COVID-19, jumlah itu turun kepada 20,000 dan sekarang pula 30,000. Maknanya setiap tahun, kita mempunyai kira-kira 16,000 kematian. Jadi, lebih banyak orang yang mati di Sarawak berbanding kelahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Majis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai Ahli Global Network Of Age-Friendly Cities and Communities (AFCC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.
Katanya, semua individu dan NGO perlu memainkan peranan masing-masing untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan bagi warga emas.
“Kerajaan Sarawak menyediakan bantuan kepada warga emas, termasuk melalui Kenyalang Gold Card yang menawarkan pelbagai diskaun dan faedah seperti pemeriksaan kesihatan,” ujarnya.
Beliau berharap MBKS akan menjadi model terbaik dalam melaksanakan program AFCC bagi warga emas sekali gus memanfaatkan peluang ini dan bekerjasama dalam meningkatkan infrastruktur bandar untuk golongan tersebut.
Turut hadir Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Rabindra Abeyasinghe. – TVS