KUCHING, 14 Okt: Usahawan luar bandar disifatkan sebagai enjin pertumbuhan dan inovasi yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negeri kerana menjadi penyumbang kepada pengeluaran makanan, pengurusan sumber asli, dan warisan budaya, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Walau bagaimanapun, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata, akses terhad kepada teknologi, pasaran, dan sumber kewangan menjadi cabaran kepada golongan ini.
“Untuk keusahawanan luar bandar berkembang, adalah penting bagi kita, sebagai pembuat dasar, untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif. Ini termasuk melabur dalam infrastruktur, menyediakan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran, memudahkan pembiayaan, dan memastikan bahawa komuniti luar bandar termasuk dalam agenda pembangunan nasional,” ujar Abdul Karim.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di Forum Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Antarabangsa ke-7 (ICORE 2024) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Pada masa sama forum itu turut menyentuh berkenaan kaedah memanfaatkan teknologi digital, mengamalkan amalan pertanian lestari, atau memupuk industri tempatan bagi mengatasi cabaran yang dihadapi usahawan luar bandar.
Sementara itu, Abdul Karim turut menyatakan bahawa segala inisiatif pembangunan luar bandar perlu berteraskan kelestarian bagi memastikan kemajuan ekonomi seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.
Jelasnya, usahawan luar bandar memiliki potensi untuk menerajui pembangunan mampan dengan mengamalkan amalan yang melindungi ekosistem, mengurangkan jejak karbon, dan menyumbang kepada agenda kelestarian global.
“Ketika kita melihat ke hadapan, kelestarian mesti kekal sebagai teras pembangunan luar bandar. Rangka kerja Madani menekankan kepentingan menjaga alam sekitar kita sambil mempromosikan pertumbuhan ekonomi.
“Komuniti luar bandar, terutama di kawasan seperti Sarawak, adalah penjaga warisan semula jadi kita. Dengan mengamalkan amalan perniagaan yang lestari, usahawan luar bandar dapat membantu melindungi ekosistem ini sambil mencipta peluang ekonomi,” katanya.
Tambah Abdul Karim, sudah menjadi tanggungjawab bersama rakyat di wilayah ini untuk berusaha memajukan masa depan Sarawak dengan meningkatkan produktiviti, kekal berdaya saing, serta mencipta persekitaran yang bersih, sihat, dan berdaya tahan untuk generasi akan datang. – TVS