KUALA LUMPUR, 14 Okt: Tiga daripada enam mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) 2025 akan diadakan di luar Kuala Lumpur, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul
Beliau yang juga Pengerusi AIPA 2025 itu menyeru semua kerajaan negeri untuk mengambil kesempatan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan yang berpotensi meletakkan negeri terlibat di peringkat lebih tinggi di persada ASEAN.
“Kita ada beberapa mesyuarat (AIPA) diadakan pada tahun hadapan dan kita mencadangkan kerajaan-kerajaan negeri supaya enam mesyuarat diadakan di luar daripada Kuala Lumpur supaya Malaysia dapat mempromosikannya dan sekaligus memberi manfaat besar dengan kehadiran pemimpin-pemimpin ASEAN serta lantikan pemerhati.
“AIPA 2025 ada enam mesyuarat dan mungkin tiga daripada itu akan kita tawarkan kepada negeri-negeri lain yang berminat,” katanya pada sidang media Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah, tiga perkara yang akan menjadi tumpuan pada mesyuarat akan datang iaitu adalah tenaga boleh diperbaharui, keterjaminan makanan dan Kecerdasan Buatan (AI).
Isu-isu seperti tenaga boleh diperbaharui selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 100 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2050.
“Kalau kita melihat sekarang ini, ahli AIPA masing-masing bekerja dalam bentuk silo tetapi jika kita dapat menggabungkan kekuatan maka ia secara tidak langsung berlakunya peningkatan ekonomi kita ke tahap lebih tinggi.
“Kita ingin menarik minat pelabur global ke ASEAN kerana ini adalah kawasan ini bukan sahaja mempunyai satu pertumbuhan ekonominya yang mantap tetapi kita kekalkan zon keamanan, kebebasan dan berkecuali,” katanya lagi.
Dalam pada itu katanya, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan. – TVS