BINTULU, 14 Okt: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) komited untuk memberikan tumpuan kepada potensi penggunaan biojisim di negeri ini menerusi penganjuran sesi kemas kini industri dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi PUSAKA berkata, pihaknya memfokuskan kepada kemampanan dan penerokaan sumber biojisim yang banyak di Sarawak, seperti sisa pertanian, sisa hutan dan serpihan kayu.
“Bahan ini penting untuk menghasilkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti pelet tenaga, yang membantu mengurangkan pergantungan kita kepada bahan api fosil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, sesi kemas kini industri itu juga menumpukan kepada faedah penggunaan biojisim terhadap ekonomi dan alam sekitar di Sarawak.
“Sesi itu nanti turut membincangkan bagaimana biojisim dapat menyumbang kepada pembangunan mampan Sarawak dengan mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan keselamatan tenaga, dan mewujudkan pekerjaan hijau.
“Selain itu, para peserta juga akan mendapat gambaran tentang permintaan global yang semakin meningkat untuk biobahan api pepejal dan karbon teraktif, terutamanya dalam pasaran seperti Jepun dan Korea,” ujarnya.
Jelas kenyataan itu, Kerajaan Sarawak amat komited untuk meningkatkan pendapatan eksport dengan melabur dalam industri hiliran bernilai tinggi.
Pada masa sama, katanya, program berkenaan turut menawarkan peluang unik kepada peserta untuk berhubung dengan pakar industri, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memupuk perkongsian dan kerjasama yang berharga.
Sesi kemas kini industri tersebut akan berlangsung pada 6 November depan dan ia akan meliputi pembangunan tenaga mampan utama, termasuk biojisim, arang dan karbon teraktif. – TVS