MIRI, 14 Okt: Program Tenaga Kerja Sarawak memainkan peranan penting dalam mengenal pasti kekuatan dan peluang tenaga kerja di wilayah ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ia yang dijalankan bersama Sarawak Skills diharap dapat menambah nilai kepada usaha memperkasa tenaga kerja tempatan di Sarawak.
“Program ini adalah penting untuk mengetahui kekuatan dan peluang tenaga kerja Sarawak serta membangunkan kemahiran diperlukan bagi memenuhi permintaan industri.
“Memahami tenaga kerja, cabaran, penerokaan inovasi dan strategi dapat membantu kita mengatasi sebarang masalah bagi membina ekonomi mampan serta makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Taklimat Tenaga Kerja Sarawak di sini, hari ini.
Sagah menjelaskan, program tersebut merupakan antara usaha meningkatkan kecekapan pekerja dan mengurangkan kadar pengangguran seperti digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pascar COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, pembentukan Jawatankuasa Dasar Bakat Sarawak yang diluluskan dalam mesyuarat kabinet sebelum ini diharap dapat menarik dan mengekalkan bakat tempatan untuk menyokong aspirasi wilayah ini menjelang 2030.
“Dalam mesyuarat kabinet terakhir, kita baru sahaja meluluskan pembentukan Jawatankuasa Dasar Bakat Sarawak.
“Dasar ini kemudiannya akan mentakrifkan peranan Kerajaan Sarawak melalui NAITD bagi menguatkuasa, menarik dan mengekalkan bakat untuk menyokong aspirasi Sarawak 2030,” ujarnya.
Menurutnya, pelaksanaan program tersebut diharapkan dapat memastikan tenaga kerja Sarawak bersiap sedia menghadapi cabaran industri dan menyumbang kepada pembangunan lebih mampan.-TVS