MIRI, 14 Okt: Sarawak terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan bakat Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) melalui inisiatif seperti NASA Space Apps, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau menekankan bahawa pendidikan dan pembangunan bakat memerlukan pelaburan jangka panjang serta kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk sekolah, guru, ibu bapa dan kerajaan.
“NASA Space Apps Sarawak adalah antara inisiatif yang kami laburkan secara signifikan, dengan tumpuan memupuk bakat muda Sarawak yang berpotensi tinggi,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan NASA Space Apps Sarawak 2024 di Meritz Hotel Miri di sini, hari ini.
Beliau turut berbangga dengan peningkatan kerjasama dengan pihak luar seperti TEGAS, Kedutaan Amerika Syarikat, dan JCI Lutong yang telah membantu memperluaskan program ini ke kawasan seperti Kapit, Lawas, Limbang, dan Lubok Antu.
Beliau memuji penglibatan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kerana menganjurkan hackathon fizikal pertama sejak 2021, melibatkan 106 peserta.
“Tahun ini, sekurang-kurangnya tiga sekolah menghantar lebih daripada 10 pasukan, dengan penghargaan khas kepada SMK Merbau, SMK Methodist, dan SM Sains Miri. Malah, SMK Merbau dan SMK Methodist menghantar hampir 25 pasukan,” tambahnya.
Beliau juga berterima kasih kepada Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Sarawak Multimedia Authority (SMA), dan rakan kerjasama sektor swasta atas sokongan mereka.
Acara tersebut turut diakhiri dengan majlis penyampaian anugerah di mana kategori junior dimenangi oleh pasukan Stardust Merbau dari SMK Merbau, manakala kategori senior dimenangi oleh pasukan Astrobyte dari Swinburne University of Technology Sarawak. – TVS