BUTTERWORTH, 14 Okt: Seorang lelaki yang dikaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 24 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai seorang warden asrama yang mempunyai hubungan amanah terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun telah melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik asrama Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam pada 11 Julai 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan jaminan atas faktor kesalahan serius iaitu seksual dan mangsa juga merupakan seorang kanak-kanak.
Dalam mitigasi rayuan, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain memohon mahkamah memberikan jaminan minima atas alasan lelaki itu kini bekerja sebagai penghantar barang dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara ibu bapa.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali selain dilarang mengganggu mangsa.
Kes akan disebut semula bagi pengurusan kes pada 14 November depan. – TVS