Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni. Foto Jazni Hanif (TVS)

Kompaun maksimum RM5,000 dibawah Akta 342 munasabah, lebih rendah berbanding Singapura dan New Zealand

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Penetapan kadar kompaun maksimum sebanyak RM5,000 bagi sesiapa yang melanggar peruntukan Akta 342 dilihat lebih munasabah untuk bertindak sebagai pencegah bagi mereka yang melanggar undang-undang kesihatan awam dan tidak membebankan rakyat secara
berlebihan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, tujuan utama peningkatan kadar kompaun itu adalah untuk memastikan kepatuhan yang lebih baik terhadap peraturan yang telah ditetapkan terutama langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan memperkukuh kawalan kesihatan awam demi keselamatan dan kesihatan awam dan bukan untuk menghukum.

Tegasnya, kompaun sebenar yang dikenakan mengambil kira tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan agar ia seimbang dan adil.

“Di Singapura, denda di bawah Infectious Diseases Act boleh mencecah sehingga SGD 10,000 (lebih kurang RM34,000) bagi kesalahan pertama, dan SGD 20,000 (lebih kurang RM 68,000) bagi kesalahan berulang.

“Walaupun denda am di New Zealand hanya NZD 500 (lebih kurang RM1,400), penalti bagi kesalahan yang berterusan boleh meningkat NZD 50 sehari (lebih kurang RM140) bagi setiap hari kesalahan diteruskan. Ini menunjukkan bahawa, jumlah denda boleh meningkat secara signifikan jika kesalahan berlanjutan,” katanya dalam Ucapan Penggulungan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya lagi, kompaun yang dikenakan adalah berdasarkan mana-mana kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Akta 342 atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta tersebut.

Pendekatan itu menunjukkan bahawa penetapan penalti mengambil kira kesejahteraan rakyat dan keadaan sosioekonomi negara menjadikan ia lebih berpatutan berbanding beberapa negara lain.

“Bayangkan sekiranya rakyat tidak memandang berat terhadap undang-undang berkaitan pengawalan penyakit berjangkit, ini akan mengakibatkan penularan jangkitan berterusan sehingga menyebabkan kejadian wabak atau pandemik, keperluan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi yang tinggi serta mengakibatkan peningkatan kadar kematian.

“Situasi ini akan mengakibatkan peningkatan kos pengurusan kes penyakit berjangkit melampau yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan,” ujarnya lagi.

Pindaan itu katanya penting bagi memastikan kesiapsiagaan negara menangani ancaman penyakit berjangkit dan ia tidak hanya memastikan pencegahan dan kawalan yang lebih cekap dan berkesan, tetapi juga menjadi asas penguatkuasaan yang mantap untuk menghadapi sebarang wabak atau pandemik pada masa hadapan termasuk ancaman penyakit berjangkit baharu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan