KUCHING, 14 Okt: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa komited untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Program Pembangunan Semula Bandar yang sedang giat dilaksanakan adalah satu usaha kerajaan untuk mencorak kehidupan masa depan yang lebih maju demi kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan memberi bantuan begitu banyak sekali untuk kita melaksanakan projek perumahan dan kita cuma kenakan bayaran, dan bayaran ini boleh dibuat secara beransur-ansur.
“Kerajaan tidak mengambil untung untuk melaksanakan ini, malah kerajaan membelanjakan berjuta-juta, namun apa yang diharapkan oleh kerajaan adalah masyarakat kita ini akan mempunyai satu rumah dengan keadaan yang lebih selesa dan anak-anak mempunyai masa depan yang lebih baik.
“Itulah pelaburan kerajaan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Surat Milik Tanah dan Kunci Rumah Darul Hana bagi ketua isi rumah Kampung Pulo Ulu, di Wiswa Sabati , Petra Jaya pada Isnin.
Katanya, program pembangunan semula bandar ini dirancang akan diperluas ke kawasan lain.
“Bukan sahaja di bandaraya Kuching malah di bandar-bandar lain juga.
“Sebab itu kita ada projek-projek seperti penempatan semula, malahan di peringkat kampung pun sudah banyak projek pembesaran kampung dan keterlibatan agensi-agensi kerajaan diperlukan seperti Housing Development Corporation (HDC) dan lain-lain termasuk sektor swasta,” katanya. – TVS