KUALA LUMPUR, 14 Okt: Istilah ‘tanah jerlus’ atau ‘tanah mendap’ yang sering digunakan oleh media bagi merujuk kepada insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini adalah kurang tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) istilah yang sepatutnya digunapakai adalah ‘lubang benam’.
“Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah yang sepatutnya adalah ‘lubang benam’. Saya juga ingin memohon maaf kerana turut terkhilaf dalam penggunaan istilah yang kurang tepat ketika memberikan kenyataan kepada media sebelum ini, “ katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai status keselamatan terkini di jalan berkenaan, beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas mendapati jalan tersebut kini disahkan selamat untuk sebarang bentuk aktiviti.
“Ini setelah mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif oleh pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), serta pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS),” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga mengambil beberapa tindakan segera jangka pendek serta tindakan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Bagi tindakan jangka pendek, penggunaan Teknologi seperti kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dan Mackintosh Probe (MP) digunakan untuk menyiasat struktur tanah.
Pada masa sama, ujian geofizik seperti Micro Gravity dan Ground Settlement Monitoring turut digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah.
“Bagi tindakan jangka panjang pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam melibatkan penggunaan teknik “Deep Boring” serta ujian makmal untuk memastikan struktur tanah stabil.
“Laporan geo-teknikal oleh jurutera bertauliah akan disediakan untuk kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko dan komunikasi awam di mana DBKL akan terus menggunakan platform media sosial untuk memberi makluman dan keyakinan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan di kawasan Jalan Masjid India,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan melalui DBKL juga telah menyumbangkan RM30,000 untuk membantu waris mangsa dalam meringankan beban mereka akibat tragedi ini.
Keluarga mangsa juga turut menerima sumbangan daripada pihak swasta yang bersimpati sebanyak RM10,000. – TVS