KUALA LUMPUR, 14 Okt: Program Hari Tanpa Gula akan dilaksanakan di Parlimen Malaysia pada setiap Rabu bagi menyemai gaya hidup sihat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, ia selaras dengan kempen gaya hidup sihat yang perlu diamalkan bersama.
“Hari tanpa gula ini bukan sahaja akan melibatkan kakitangan Parlimen tetapi turut melibatkan ahli-ahli Parlimen juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pemasyhuran Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mesyuarat ketiga akan bersidang selama 35 hari hingga 12 Disember depan dengan tumpuan pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” pada 18 Oktober.
Pada masa sama, beberapa Rang Undang-Undang akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan di Dewan Rakyat. -TVS