Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama

GISBH: Polis siasat kemungkinan kanak-kanak rumah amal tonton video militan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Okt:  Siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini memasuki satu lagi fasa baharu apabila polis menyiasat kemungkinan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikendalikan oleh organisasi itu diterapkan dengan elemen jihad militan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan tentang perkara itu dilakukan selepas mendapati kanak-kanak berkenaan telah ditayangkan dengan video berkaitan Abuya oleh pengendali rumah amal terlibat sepanjang mereka ditempatkan di sana.

Semalam, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika berucap di Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 di Klang, Selangor berkata fahaman jihad militan dipercayai diserapkan ke dalam diri kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal berkenaan melalui tayangan video.

Sementara itu di Johor, tiga individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan pemerdagangan manusia dan amang seksual, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah didakwa di mahkamah setakat ini sebanyak 11 orang.

Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31, yang didakwa dengan empat pertuduhan memperdagangkan tiga wanita dan seorang lelaki berusia 30 hingga 57 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Kota Tinggi, antara Ogos tahun lepas hingga 1 Okt tahun ini yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Muhammad Ansarullah Tukino, 20, pula mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Surau Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada 10 malam, 1 dan 3 Jun 2024.

Mereka kemudian dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Nov sebagai sebutan semula untuk kes Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah manakala bagi kes Muhammad Ansarullah ditetapkan pada 28 Nov. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan