SHAH ALAM, 14 Okt: Seorang doktor yang bertugas di sektor swasta berputih mata apabila kerugian RM3.456 juta selepas menjadi mangsapenipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata modus operandi yang digunakan suspek ialah memperdaya mangsa menerusi akaun pelaburan saham QFII yang dipanggil L-Trader Max.
Kata beliau sindiket meyakinkan mangsa yang berusia 45 tahun supaya menandatangani perjanjian kontrak atas nama syarikat Dimensional.
“Suspek meyakinkan mangsa bahawa syarikat berkenaan kononnya berdaftar dan beroperasi di Singapura,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Hussein hasil siasatan dijalankan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati perjanjian kontrak yang dikemukakan adalah palsu.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada dengan skim-skim tawaran pelaburan dalam talian dan menyemak kewujudan pelaburan saham tersebut terlebih dahulu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS.