KUCHING, 14 Okt: Projek bina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo merupakan antara sekolah yang diiktiraf sebagai sekolah pintar pertama di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, bangunan sekolah tersebut dijangka akan siap pada tahun depan.
“Jadi sememangnya SK Pulo telah pun diiktirafkan sebagai sekolah pintar yang pertama di Sarawak dan sepenuhnya dibiayai oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Surat Hak Milik Tanah dan Kunci Rumah Darul Hana bagi ketua isi rumah Kampung Pulo Ulu bertempat di Wisma Sabati, Petra Jaya, pada Isnin.
Beliau menyifatkan pembinaan sekolah ini sebagai usaha kerajaan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif kepada pelajar melalui pelbagai kelengkapan fasiliti.
Sekolah ini dilengkapi teknologi pintar yang melibatkan pengurusan sekolah, selain dilengkapi dewan tertutup yang mampu menempatkan 375 orang dalam satu masa. – TVS