KUCHING, 14 Okt: Ribuan peminat di Bandar raya Kuching membanjiri Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) malam tadi untuk menyaksikan Konsert Perjalananku daripada Hafiz Suip.
Anak kelahiran Kuching itu memulakan persembahannya pada jam 8.30Â malam dengan lagu ikoniknya, Awan Nano.
Sepanjang konsert tersebut, Hafiz mendendangkan 17 lagu termasuk beberapa lagu popular artis lain seperti Mengapa Perpisahan Kau Pinta, I Believe I Can Fly, Rindu Bayangan dan banyak lagi.
Lebih istimewa, penyanyi terkenal tanah air, Ernie Zakri turut tampil berduet bersama-sama Hafiz dengan lagu Berakhirlah Pencarianku.
Ernie juga mempersembahkan lagu solonya seperti Masing-Masing dan Gelita.
Selain persembahan nyanyian, Hafiz turut meluangkan masa untuk berkongsi kenangannya sepanjang perjalanan dalam industri seni.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan komposer terkenal Mohamad Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai.
Ini merupakan konsert solo pertama Hafiz sejak beliau menceburi industri seni pada 2009.
Hafiz mula dikenali selepas menjuarai program realiti, Akademi Fantasia musim ketujuh dan melancarkan lagu pertamanya, Masih Jelas kira-kira 15 tahun lalu.-TVS