KUCHING, 14 Okt: Affin Islamic Bank Bhd menerima anugerah ‘Best Islamic Retail Bank in Malaysia’, mencerminkan kehadiran bank berkenaan semakin kukuh dalam sektor perbankan runcit bagi memenuhi keperluan perbankan Islam individu.
Affin turut mengukuhkan kedudukannya dalam kewangan lestari dengan memenangi anugerah ‘Best Islamic Syndicated Loan Renewable Energy in Malaysia’ yang mengiktiraf peranannya dalam memfasilitasi projek utama untuk sektor tersebut.
Selain itu, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd juga turut merangkul enam lagi anugerah di The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, pengiktirafan itu sekali gus mengukuhkan komitmen bank itu terhadap pelanggan, inovasi serta kewangan lestari.
“Ini membolehkan kami untuk terus menetapkan penanda aras baharu dalam menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan patuh syariah kepada pelanggan runcit.
“Komitmen Affin Islamic Bank terhadap kelestarian jelas dilihat dalam pelbagai penyelesaian kewangan yang ditawarkan, termasuk panel solar, program pendidikan, hartanah yang diperakui Indeks Bangunan Hijau (GBI), penggunaan peribadi serta kenderaan hibrid dan elektrik (EV),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Katanya lagi, fokus kewangan lestari ini selaras dengan gerakan global yang semakin berkembang bagi menarik minat pelanggan yang semakin prihatin terhadap alam sekitar serta meningkatkan jenama bank dalam industri.
Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd turut membuktikan kepakarannya dalam sukuk dengan memenangi beberapa anugerah antaranya ‘Best Sustainability Sukuk Healthcare’ dan ‘Best Sustainability Sukuk Healthcare in Malaysia’ untuk Sukuk Wakala Kelestarian RM55 juta yang diterbitkan oleh Point Zone (anak syarikat KPJ Healthcare Bhd) manakala ‘Best Sukuk Shipping in Malaysia’ untuk Sukuk Wakala RM425 juta oleh MTT Shipping.
Ini jelas menunjukkan kemampuan bank tersebut dalam pengedaran dan capaian pelabur di mana bank itu turut meraih anugerah ‘Best New Sukuk in Malaysia’ untuk Sukuk Wakala Rm1.5 bilion oleh Johor Corporation, menunjukkan kebolehannya dalam menstruktur sukuk yang inovatif dan berimpak tinggi.
Penganugerahan Affin Hwang Investment Bank sebagai ‘Best Retail Brokerage in Malaysia’ oleh Euromoney juga memperlihatkan komitmen syarikat untuk menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian kepada pelanggannya.
Selaras dengan visi Affin Bank untuk menjadi firma kewangan paling kreatif dan inovatif di Malaysia, pengiktirafan ini menjadi bukti komitmen Affin Bank dalam menyediakan perkhidmatan pelanggan tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak. – TVS