KUCHING, 13 Okt: Seorang wanita berusia 20-an di Miri kerugian RM200,000 selepas terpedaya dengan kes penipuan ‘phone scam’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata berkata, mangsa  telah dihubungi oleh seorang individu iaitu suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada unit komunikasi multimedia pada penghujung september 2024.
“Suspek memberitahu bahawa nombor telefon mangsa telah disalahguna dan terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian di sekitar Kuching.
“Setelah itu, mangsa diarah menghubungi seorang individu iaitu suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi whatsapp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek menyatakan bahawa mangsa terlibat dengan kes judi dan pengubahan wang haram serta meminta mangsa memberi kerjasama dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM200,000 untuk mengelak dirinya ditangkap oleh pihak polis.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani panggilan telefon atau mesej dari orang yang tidak dikenali serta tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu atau mana-mana pihak yang tidak dikenali,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS