MIRI, 13 Okt: Seorang wanita cedera manakala tiga yang lain selamat selepas kereta dinaiki kemalangan kendiri terbabas ke dalam parit di Jalan Miri – Bekenu di sini, hari ini.
Komander Operasi, Ladi Eni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 11.38 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Proton Exora yang terbabas masuk ke dalam parit.
“Terdapat empat orang mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.
“Pihak bomba memberi rawatan awal pada seorang mangsa perempuan yang cedera di bahagian kaki kiri dengan memasang cervical collar dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.- TVS