MIRI, 13 Okt: Usaha ke arah bandar mampan memerlukan penglibatan semua pihak, kata Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) berjaya menghimpunkan pelbagai pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, dan masyarakat setempat bagi menjayakan Program Semarak Komuniti Miri dan Program Miri City Car-Free Day hari ini.
“Program hari ini merupakan langkah penting ke arah mencapai bandar rendah karbon. Dengan menutup jalan kepada kenderaan di kawasan tertentu, kita boleh mengalami bandar yang lebih aman, bebas daripada kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.
“Penutupan jalan ini bukan sahaja membolehkan kita menikmati persekitaran yang lebih hijau, bersih dan sihat, tetapi ia juga meningkatkan kesedaran tentang bagaimana perubahan kecil boleh memberi kesan yang ketara kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Saya percaya inisiatif ini boleh membantu kita mengurangkan jejak karbon, menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengurangkan pelepasan karbon dengan meminimumkan penggunaan kenderaan bermotor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Kaunselor Jamil Bujang di Program Semarak Komuniti Miri dan Program Miri City Car-Free Day, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, program ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan sosial melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Antaranya adalah zumba, berjalan kaki, berlari, dan berbasikal yang dilihat bukan sahaja dapat menyatukan semua pihak dalam semangat kemasyarakatan tetapi juga menggalakkan mereka untuk aktif dan mengekalkan kesihatan, selaras dengan usaha mengurangkan pencemaran.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha kitar semula dalam terutamanya pengumpulan minyak masak terpakai yang dijalankan dengan kerjasama Sekitar Bumi Hijau Sdn Bhd.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan amalan hijau tetapi juga membantu mengurangkan beban alam sekitar yang disebabkan oleh pelupusan minyak masak yang tidak betul. – TVS