DARO, 13 Okt: Sambutan luar biasa pertandingan memancing Kampung Sebakau bukan sahaja membuktikan kerjasama erat dalam kalangan penduduk tetapi menyerlahkan potensi kawasan itu sebagai destinasi tumpuan pelancong di Pulau Bruit.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, penyertaan lebih 300 peserta pada edisi pertama penganjurannya semalam, membuktikan potensi besar acara itu dalam menarik kehadiran pengunjung.
Malah ujarnya, pemandangan yang menarik selain kaya dengan hasil laut menjadikan pantai Sebakau sebagai lokasi yang sesuai bagi penganjuran acara berkenaan.
“Pertandingan edisi kali ini mendapat sambutan luar biasa, saya sendiri terkejut. Begitu ramai mencuba nasib untuk mendaratkan ikan dan membawa pulang hadiah lumayan yang disediakan penganjur.
“Selain itu lokasi yang strategik dan keinginan untuk mempamerkan kemahiran memancing turut menyumbang kepada popularitinya,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Yusuf berkata, pertandingan itu merupakan platform untuk mempererat hubungan dalam komuniti, menyokong sektor pelancongan tempatan, serta mempromosikan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar, terutama dalam menjaga ekosistem air dan hidupan marin.
Sambutan luar biasa terhadap pertandingan itu katanya, pastinya memberi suntikan semangat kepada penganjur untuk meneruskan acara berkenaan pada masa hadapan.
“Kejayaan dari segi jumlah penyertaan, keterlibatan peserta, dan reaksi positif daripada pengunjung juga dapat menjadi faktor penting untuk acara seperti ini dijadikan acara tahunan atau ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Ini juga membuka peluang untuk memperkenalkan aspek-aspek baharu seperti kategori lebih luas, hadiah yang lebih menarik, serta lokasi memancing yang lebih mencabar dan popular,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol yang juga ADUN Semop.-TVS